KORBAN MASA DEMI SESUAP NASI KE MULUT KAMI - TERIMA KASIH AWAK
Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 29
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Entri: 29
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Seawal jam 5.00 pagi Aiman sudah bangun. Saya sedang menyusukan Aleef lagi. Ibu mertua saya yang perasan kelibat Aiman di ruang tamu, segera menyuruhnya kembali masuk ke bilik kerana bimbang jika dia berbaring di kerusi di ruang tamu, dia akan diserang nyamuk. Segera dia masuk ke bilik dan sambung tidur. Ibu mertua saya baru selesai sahur dan sedang bersiap untuk ke masjid.
Tepat jam 6.00 pagi, saya segera membersihkan diri. Saya kemudiannya mengejutkan Aiman yang masih tidur. Sedang saya bersiap-siap mahu solat, terdengar bunyi motosikal ibu mertua dari kejauhan. Baru pulang dari berjemaah di masjid berdekatan. Saya bertanya Aiman samada mahu saya mandikan atau tidak. Dia jawab mahu tunggu neneknya mandikan.
Ibu mertua saya memang melayan cucunya begini. Semua dibuatkannya. Walaupun Aiman sudah berusia 6 tahun, masih dia mahu suapkan Aiman dan mandikannya. Katanya mahu cucunya ingat jasanya sepertimana dia ingat jasa neneknya yang melakukan perkara sama. Saya senyum saja. Tidak tahu mahu komen apa.
Saat saya baru mahu mengenakan telekung, Aiman kembali ke dalam bilik. Mahu saya mandikannya. Saya yang baru memakai kain telekung sahaja, segera mengajaknya. Aiman yang melihat saya sedang bersiap untuk solat, segera menolak pula. Mama solatlah dulu, katanya. Prihatin juga kamu rupanya, bisik hati saya. Saya segera menunaikan solat dan terus memandikan Aiman. Seterusnya memakaikannya baju sekolah.
Sementara itu, ibu mertua saya memeriksa peralatan dan kerja sekolah Aiman, Saya pula menyediakan susu untuk Aiman dan memberikannya kismis bersalut coklat yang dibeli ibu mertua saya khas untuk Aiman. Akif yang kebetulan sudah terjaga, tumpang sekaki. Selesai bersarapan, segera Aiman bersalam dengan saya dan menuju ke luar rumah diikuti Akif yang pastinya tidak melepaskan peluang menaiki motosikal.
Saya segera membersihkan pinggan mangkuk dan menjerang air. Pulangnya ibu mertua saya membawa balik sebungkus roti coklat dan 2 bungkus nasi lemak. Untuk saya, bapa mertua dan Akif. Katanya, dia berpuasa sebab itu dia beli makanan di luar. Memang rutinnya jika berpuasa, dia akan belikan sarapan. Saya bancuh air dan duduk bersarapan bersama bapa mertua dan Akif. Ingatkan cukup roti sebuku untuk Akif. Melihat nasi lemak terhidang dan bau telur mata yang digoreng ibu mertua, membuka selera Akif untuk makan. Saya suapkannya. Selera betul dia. Ibu mertua serba salah walhal saya tidak kisah pun.
Selesai menyuapkan Akif, saya panaskan lauk dan nasi yang berbaki semalam. Sayang jika dibuang. Lagi pula, makanan kampung air tangan ibu mertua yang sudah sebati dengan lidah saya. Saya bersarapan setelah Akif selesai sarapan. Selesai sarapan, saya bantu ibu mertua membasuh lagi bekas-bekas makanan dan minuman.
Sedang mengemas apa yang patut, Aleef sudah bangun dari tidurnya. Saya mandikan Aleef dan Akif. Selepas mandikan anak-anak, seperti biasa, masa untuk menyusukan Aleef dan menidurkannya di dalam buai. Melihatkan jam sudah menunjukkan 10 lebih, saya segera memasak nasi mengikut sukatan yang sudah ditentukan ibu mertua. Akif pula mengikut ibu mertua saya membeli ikan keli untuk dibuat sambal nanti. Pulangnya ibu mertua, saya segera beri ruang untuknya memasak makan tengahari. Saya tidak berani memasak kerana bapa mertua sedikit cerewet jika rasanya tidak sama. Air tangan orang tua kan lain dari orang muda.
Menjelang tengahari Aiman dijemput pulang dari sekolah. Saya menyemak ejaannya apabila ibu mertua saya meminta Aiman menunjukkan kepada saya apa yang dia belajar. Kini dia sudah pandai mengeja dan membaca ayat. Malahan tidak memerlukan kelas tambahan seperti segelintir rakan-rakannya.
Selepas makan tengahari, kami berehat di bilik sambil belajar huruf dan ayat dalam bahasa Inggeris melalui aplikasi yang saya muat turun dari internet. Saya tertidur semasa menyusukan Aleef yang turut sama tidur.
Hampir jam 6.00 petang, kedengaran bunyi bising di luar rumah. Suami saya sudah pulang dari Perak rupanya. Menaiki kenderaan yang belum dipulangkan lagi ke pejabat. Dia datang terus dari Perak untuk menjemput kami pulang ke Kajang. Ibu mertua saya yang teruja melihat kenderaan yang serba baru yang dipandu oleh anak sulungnya itu, tidak sabar mengejutkan saya yang masih mamai. Tampak sekali wajah cerianya. Maklumlah. Terlalu lama menanti anaknya diterima masuk kerja kerajaan dan menempa kejayaan. Timbul rasa simpati saya. Kasihan ibu itu yang belum pernah dapat merasai kesenangan hasil titik peluh anaknya. Baru tahun ini hajatnya melihat anak-anaknya berjaya terjawab sedikit demi sedikit.
Berbalik pada cerita tadi, suami yang perasan saya tidak menyambutnya segera masuk ke bilik. Saya masih mamai. Segera dia mengajak kami pulang kerana perlu menghantar kenderaan pejabat tersebut segera. Saya minta izin tunaikan solat Asar sahulu. Selesai solat, aaya segera berkemas. Ibu mertua pula sibuk di dapur menyiapkan minum petang istimewa, bubur jagung campur keledek. Besar api dapurnya. Cuba masak secepat mungkin memandangkan kami akan pulang. Sambil itu, dia berulang-kali menyuruh kami makan dahulu. Suami yang melihat lauk-pauk yang terhidang, segera menyenduk nasi dan makan. Legalah hati ibu mertua saya tadi. Bukan apa. Jika lauk banyak dan tiada orang boleh habiskan, bapa mertua saya akan berceramah pada ibu mertua saya. Pantang betul dia jika ada pembaziran.
Selesai makan, kami segera bersalaman dan masuk kereta. Selesa sungguh. Maklumlah kebetulan kenderaan yang suami saya dapat ini, yang paling baru di antara kesemua kenderaan di pejabatnya. Suami ada juga menyatakan hasratnya untuk mengumpul wang bagi membeli kenderaan baru untuk keselesaan ibunya. Kasihan melihat bapa mertua yang terpaksa ditinggalkan kerana kenderaan sedia ada yang kurang selesa.
Sampai di rumah, kami segera masuk dan suami segera bertolak ke pejabat. Jam sudah menunjukkan 7.00 malam ketika itu. Sudah lewat. Saya tutup pintu dan bersiap untuk Maghrib sambil melayan anak-anak. Ketika jam sudah menginjak ke arah 8.00 malam, suami masih belum pulang. Saya sedikit gelisah. Tiba-tiba bunyi telefon rumah berdering. Suami saya beritahu yang dia masoh di pejabat bersama kawan-kawannya. Mereka diberi surat arahan memasuki portal webmail menggunakan ID Username yang sudah disediakan dan perlu mengemaskini profil. Saya buka aplikasi Whatsapp di telefon. Rupanya dia ada hantar gambar mereka sedang berusaha mengikut arahan disediakan. Suami saya kurang mahir selok-belok IT. Jadi, terpaksalah minta bantuan kawan-kawannya. Jam 11.00 malam baru dia sampai ke rumah. Anak-anak masih belum tidur kerana menunggunya.
Lebih kurang jam 12.00 pagi barulah mereka tidur. Sambil menunggu mata tidur, saya berfikir cadangan-cadangan ibu mertua sempena cuti 1 Mei hingga 4 Mei ini. Saya fikir esok barulah berbincang dengan suami. Masing-masing sudah letih dan mengantuk. Lebih baik tidur.
![]() |
Gambar sekadar hiasan. Ini bukan suami saya. (-.-)" |
Ulasan
Catat Ulasan