BERTERIMA KASIHLAH
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari ini, saya ingin bercerita tentang terima kasih. Apa kita rasa apabila bantuan, jasa, pertolongan atau apa saja yang bermanfaat kita buat kepada orang, dibalas dengan terima kasih? Pastinya rasa sangat lapang dada kerana dihargai walaupun sekadar sebuah ucapan "Terima kasih".
Terima kasih biasa diterjemahkan dengan perkataan. Malah ada yang lebih lagi, berterima kasih dengan memberi hadiah dan sebagainya.
Dalam konteks keluarga, penerapan amalan berterima kasih menjadi sesuatu yang amat perlu sebagai contoh untuk anak-anak yang masih kecil. Ibubapa sebagai model utama amalan ini.
Bagaimana pula dengan pasangan suami isteri? Terima kasih adalah sangat perlu dalam apa jua kebaikan yang diberikan. Amalan terima kasih ini boleh diterapkan untuk mengekalkan hubungan suami isteri walaupun hanya sekecil membasuh baju. Percayalah. Kebanyakan hubungan yang gagal kerana kurang mengamalkan tanda penghargaan atas jasa baik yang diberikan. Permulaan percintaan nampak semuanya manis walaupun ada pergaduhan kecil. Apabila sudah semakin mengenal, semakin sukar berterima kasih. Kenapa? Mungkin kerana terima kasih itu hanya terucap di dalam hati. Walhal masing-masing teringin mendengar ucapan kecil yang besar maknanya itu. Ini hanya pendapat saya.
Dalam mendidik anak-anak saya, ucapan terima kasih saya terapkan dengan mengucapkan terima kasih kepada setiap perkara baik yang mereka lakukan. Tidak akan jatuh air muka kita mengucapkan terima kasih kepada mereka walaupun mereka anak-anak. Besar kesannya kelak.
Jadi, mulai saat ini, selalulah ucap terima kasih tidak kira kepada siapa. Lebih-lebih lagi kepada Allah s.w.t yang telah menciptakan kita dan mengurniakan pelbagai nikmat. Jangan dipandang apa yang tiada. Bersyukur apa yang ada. Tanda terima kasih kita kepada Maha Pencipta.
Ulasan
Catat Ulasan