BAWA MAK MERTUA MAKAN-MAKAN DI DATARAN NILAI

Pagi Jumaat yang nyaman dan sejuk dimulai dengan syukur. Galau hati beberapa hari lalu semakin berlalu bersama sakit yang makin beransur pulih. Alhamdulillah.

Tiga hari ini si dia mengambil alih sebahagian tugas rutin rumahtangga memandangkan kesakitan yang menyapa mengganggu emosi dan mentaliti.

Menikmati sarapan mee goreng mamak hasil air tangan si dia, itulah yang ditunggu saat hari berkumpulnya keluarga kami. Indah nan riuh dengan suara nyaring anak-anak syurga menggamat suasana. Siapa tahu sampai bila dapat didengari riuhnya mereka. Alhamdulillah.

Tika mentari tegak di kepala, baru tersedar nasi di periuk belum ditanak. Lauk tengahari masih membeku. Allah. Leka sungguh berusaha menyediakan bahan mengajar anak-anak hingga tidak sedar sudah lewat waktu. Buru-buru menyiapkan sekadar tumisan cendawan tiram bersama buncis serta sambal ayam goreng. Sementara menanti hidangan tengahari, si dia mengajak anak-anak syurga ke surau menunaikan solat Jumaat. Tepat waktu habis solat Jumaat, hidangan sudah siap. Alhamdulillah. Tertidur kekenyangan si tengah dan si akhir. Si awal pula mengajak mengkaji setiap permainan yang ditonton di YouTube. Tak terlayan kerana si akhir mengempeng. Layan dirilah si awal.

Si dia pula mengajak ke rumah bondanya petang ini. Menunaikan janji dan melunas pinjaman. Allah maha tahu isi hati kita. Apa yang terdetik di hati, itulah yang terjadi. Senyum bahagialah dan syukur.

"Assalamualaikum, mak."

"Wa alaikumsalam."

"Mak ada ke mana-mana ke malam ni?"

"Takde. Kenapa pula?"

"Jom kita keluar makan-makan lepas Maghrib?"

"Boleh."

Terbayang sudah wajah dimamah usia itu yang pasti kelihatan ceria terusik bahagia. Bonda mana yang tidak gembira diajak keluar anak-anaknya? Biar tunggangannya sudah berkeriut di sana sini, tiada angin dingin meniup keselesaan malah tidak semerbak Ambi Pur, selagi ia bisa berbakti menggembirakan hati bonda, tiada yang lebih bahagia lagi. Alhamdulillah.

"Mak nak makan kat mana?"

"Ikut engkaulah. Kau yang nak belanja. Asalkan keluar dari pekan ni. Bosan mak menghadap tempat ni."

Perjalanan terasa jauh. Melalui jalan kampung yang kiri kanannya pepohon yang merimbun dan kadang menggetarkan hati.

"Abang nak ke mana? Macam jauh sangat je ni?"

"Kata nak keluar dari pekan. Nak jauh sikit. Kita pergi....Dataran Nilai!"

"Err... ok.." Bungkam. Bunyi macam jauh sangat. Ikut sajalah.

"Ok. Order saja apa nak order. Jangan fikir harga. Jangan fikir duit cukup ke tak. Jangan fikir."

Aduh, kamu! Tahu saja isterimu yang terlalu mengira bajet ini. Terima kasih awak.

Nasi lemak telur goreng pinta si pertama, berkongsi dengan si tengah, yee mee sizzling pinta si ipar bongsu, bakso pinta bonda dan set nasi talapia goreng sambal buat kami sejoli. Alhamdulillah. Nikmat rezeki makanan bersama alunan muzik penyanyi jalanan persis penyanyi sebenar.

Tampak letih namun gembira wajah bonda. Salam bercangkuk berisi lunasan pinjaman lalu dihulurkan tanda terima kasih, selamat malam dan selamat tinggal. Anak-anak syurga juga sudah lentok kekenyangan. Alhamdulillah. Semoga kekal rezeki kasih-sayang ini dan terus bercambah membenih bahagia. Terima kasih Allah.

Sumber foto: Peribadi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN