AKTIVITI BIASA SAMBIL CURI MASA BERBLOG

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Foto: Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pagi ini suami perlu lebih awal ke tempat kerja. Sebelum jam 6.30 pagi dia perlu berada di sana untuk menjemput pegawai atasan. Aktiviti hari ini bermula lewat sedikit. Mungkin kerana cuaca yang nampak 'malas'. Anak-anak masih sedap tidur. Saya ambil peluang mengemas apa perlu dan menyediakan sarapan.

Saya menjeling lubang tikus di siling. Nampaknya suami saya berjaya selesaikan masalah siling berlubang itu. Disumbatnya pembaris plastik yang tebal untuk sementara waktu. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu risau lagi tikus menggigit wayar telefon kami. Cuma tikus masih masuk melalui ruang udara di bawah pintu pula. Sabar sajalah.


Waktu saya sedang minum dan bersarapan, Akif datang sambil menggosok mata dan menyatakan dia haus. Saya berikan air dan dia duduk di sebelah saya sambil menonton kartun di TV2. Saya bangun dan mengambil Aleef pula yang sudah merengek. Selesai mandikan Aleef, Akif pula dimandikan.

Saya sambung mengemas dan memasak. Hari ini hanya menu telur dadar saja. Lauk mentah belum dibeli lagi. Sayuran juga sudah habis. Kami makan tengahari bersama. Selesai makan, saya mendukung Aleef ke bilik, diekori Akif.

Ketika mahu berbaring saya perasan mata Akif masih merah. Semalam lebih teruk sebenarnya. Sampai bertali tahi mata keluar. Tetapi saya rawat dengan produk percubaan yang saya beli semasa rawatan resdung awal tahun kelmarin. Nampaknya masih perlu rawatan lagi matanya. Jadi, saya titiskan 1 titik di setiap matanya dan letakkan tisu muka. Kemudian saya pakaikannya 'pengurut mata' elektronik yang juga saya beli semasa rawatan resdung tersebut. Set masa selama 15 minit. Begitulah saya lakukan semalam. Produk ini bagus juga.

Sebenarnya mata saya yang terkena katarak sebelum ini juga saya rawat dengan produk dan peralatan ini. Setelah lebih kurang 3 bulan mata saya kembali pulih sedikit demi sedikit. Alhamdulillah. Rabun saya juga sudah berkurangan. Alhamdulillah.


Cuaca panas menyukarkan anak-anak tidur. Jadi, saya bawa mereka ke ruang tamu semula. Kebetulan ada kawan yang mahu datang menghantar barang pula. Jadi saya bertahan bersama anak-anak hingga jam 3 lebih. Selesai mengambil barang, terus saya tutup pagar dan pintu dan bawa mereka ke bilik. Tidur juga mereka akhirnya.

Peluang ini saya guna untuk menyiapkan tugasan yang tertinggal. Hari pula hujan tiba-tiba. Hati memang berharap anak tidur lama sikit hingga saya siapkan tugasan. Saya mulakan selepas solat Asar.


Jam 6 petang barulah anak-anak bangun. Saya sempat menyiapkan tugasan senarai blog rakan kelas sebanyak 53 blog sahaja.

Selepas memandikan anak-anak, saya mulakan memasak. Jenuh fikir nak masak apa. Akhirnya menu kami hanya nasi goreng bawang putih. Sedap juga sebenarnya. Pertama kali buat.

Sambil makan menunggu suami pulang tetapi rupanya dia perlu kerja lebih masa hari ini. Ada pegawai yang perlu dihantar untuk makan malam di Universiti Malaya. Entah apa nama majlis makan malam dan tujuan apa, saya tidak tahu. Suami juga tidak faham apa yang mereka perkatakan di dalam majlis.

Saya tidak kisah asalkan beritahu di mana, buat apa, dengan siapa berserta bukti-bukti sahih pun dah cukup. Tidaklah nanti saya berprasangka yang bukan-bukan dan akhirnya 'terdoa' yang bukan-bukan. Na'uzubillahiminzalik.

Selepas isya' majlis makan malamnya bermula. Saya pun solat seorang diri saja. Selesai solat, saya bawa anak-anak ke bilik. Sambil melayan anak, sambil bersembang dengan rakan bisnes di Semenyih Bisnes Group, WeChat dan mendengar bacaan al-Quran di YouTube.

Jam 12 tengah malam suami masih belum pulang. Saya mesej melalui Whatsapp. Katanya dalam perjalanan ke pejabat untuk merekod kerja lebih masa pula. Saya pula sudah mengantuk. Hajat di hati mahu sambung tugas yang tergendala sementara tunggu suami pulang. Tetapi jika saya paksa diri, sakit kepala bakal menyerang kerana kurang tidur dan rehat. Jadi, selamat malam. Eh? Pagilah. Selamat pagi dan assalamu'alaikum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN