10 TIPS MENARIK MINAT ANAK MEMBACA, TANPA DIPAKSA!

Teks: Ziadah ZainalAbidin
Foto: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: saatakukaupilih.blogspot.com

TIPS 1: PENDEDAHAN AWAL
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Awal itu bermaksud dari saat anak berada dalam kandungan lagi. Dalam Islam juga telah ditekankan mengenai pentingnya ibu yang hamil untuk membaca al-Quran. Ibu yang hamil juga digalakkan membaca bahan-bahan ilmiah dan berbual dengan anak di dalam kandungan.
Deria pertama yang terbentuk semasa anak dalam kandungan ialah deria pendengaran. Percaya atau tiadak, ini bermakna bayi mampu mendengar ibunya membaca, mengaji dan menyanyi untuknya. Jadi, bacakanlah dengan jelas dan kuat.

Pada permulaan memang akan terasa seperti orang gila bila asyik bercakap dengan perut. Pedulikan perasaan itu. Kita akan nampak kesannya apabila bayi itu lahir nanti. Denga izin Allah.

TIPS 2: SEPAHKAN BUKU
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Selalunya kita akan lihat mainan bersepah tetapi buku tersimpan kemas di rak. Cuba pula sepahkan buku. Ini secara tidak langsung akan menarik minat anak-anak untuk membaca.
Pilih buku yang sesuai seperti buku cerita kanak-kanak. Sepahkan buku di tempat yang biasa anak-anak duduk bermain. Anak-anak akan perlahan-lahan tertarik untuk membacanya ketika sedang bermenung atau kebosanan. Biarpun anak-anak sekadar tengok gambar, minat terhadap buku akan mula timbul dan akan mula tertarik untuk mengambil sendiri buku yang diminati.

Biarpun buku yang diambil itu buku yang sama berulang-ulang kali setiap hari dan sudah dihafal jalan ceritanya, biarkan. Asalkan dia minat.

Jangan sesekali padamkan minat itu kerana dari buku yang dia minat itulah ibubapa boleh guna untuk perlahan-lahan mengajar anak-anak membaca pula.

TIPS 3: KERAP BAWA ANAK KE KEDAI BUKU / PERPUSTAKAAN
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Walaupun tiada niat membeli apa-apa di kedai buku atau meminjam apa-apa buku dari perpustakaan, kerapkan bawa anak-anak ke tempat-tempat begini. Biasakan mereka dikelilingi buku.

Duduklah bersama anak-anak di bahagian kanak-kanak dan bebaskan mereka untuk pilih buku sendiri. Beri mereka ruang masa untuk menghiburkan diri dengan menyelak helai demi helai buku-buku tersebut.

TIPS 4: BERMAIN DENGAN BUKU
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Bagaimana? Gunakan idea kreatif anda untuk mengajak anak-anak bermain dengan buku. Anda boleh susun buku-buku tersebut menjadi terowong, menara, khemah, rumah, bangunan dan apa saja.
Sepahkan buku dan biar mereka bermain dengannya. Anak-anak pasti tahu perlu buat apa. Mereka jauh lebih kreatif dari ibubapa. Dengan cara ini, secara tak langsung akan menarik anak terhadap buku.

TIPS 5: JADIKAN BUKU SEBAGAI HADIAH
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Jadikan buku sebagai hadiah atau galakan positif apabila anak berjaya mencapai sesuatu perkara.

Contoh:
√ "Sebab adik makan on time dan tak buang sayur hari ni, ayah hadiahkan adik buku baru!"
√ "Sebab Daniel tak kencing katil malam tadi, petang ni kita beli buku cerita baru, ok?"

Boleh juga bawa anak ke kedai buku dan suruh dia pilih sendiri buku kesukaannya. Tapi sebagai ibubapa perlulah bantu mereka pilih buku mana yang sesuai, buku mana yang tidak sesuai.

TIPS 6: PASTIKAN BUKU SESUAI DENGAN USIA ANAK
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Buku yang mahal tidak semestinya sesuai. Buku tebal, buku cantik, buku tahan lama, pun tidak semestinya sesuai. Ini antara jenis-jenis buku untuk peringkat umur tertentu, mengikut turutan.
BAYI - Buku yang ringkas. Hanya ada 1 hingga 2 perkataan dalam 1 mukasurat. Gambar besar dan ceria. Bertekstur fabrik atau kain supaya anak boleh pegang dan boleh dibasuh jika anak bawa masuk ke dalam mulut.

1 TAHUN KE ATAS - Pilih buku yang melibatkan sentuhan pelbagai tekstur/permukaan. Contohnya, buku 'pop-up' yang mengeluarkan gambar 3D. Buku begini sangat menarik pembaca tidak kira berapa usia.

3 TAHUN KE ATAS - Ketika ini anak sudah banyak perkataan. Buku berirama dan buku mencari sangat sesuai untuk mereka. Buku yang hanya ada gambar dan tiada perkataan pun sebenarnya bagus kerana kita sendiri yang mereka cerita berdasarkan gambar. Ini meningkatkan daya imaginasi.

TIPS 7: BUAT BUNYI MENARIK KETIKA MEMBACA BUKU CERITA
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Setiap kali bacakan anak buku, gunakan intonasi yang sepatutnya berdasarkan cerita. Elakkan menggunakan nada mendatar sahaja.

Apabila kita ceritakan dengan intonasi yang betul dan buat pelbagai gaya menarik, anak akan lebih seronok, lebih faham dan mendalami cerita tersebut.
Jika buku yang ada pengajaran moral, lebih baik. Anak boleh belajar sesuatu.

TIPS 8: SAMBIL BACA, LETAKKAN JARI DARI PERKATAAN KE PERKATAAN
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Sambil baca buku kepada anak, tunjukkan perkataan yang dibaca menggunakan jari dan jangan baca terlalu laju. Sebutkan perkataan demi perkataan dengan jelas.

Ini secara tidak langsung boleh menjadikan anak lebih kenal susunan huruf dan bunyi perkataan tersebut. Kaitkan juga perkataan dengan gambar untuk anak faham maksud perkataan.

Biar anak lambat membaca tetapi minat membaca. Tahu membaca dan minat membaca itu tidak sama konsepnya.

TIPS 9: SEKURANG-KURANGNYA 10 MINIT SETIAP HARI
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
10 minit adalah masa yang tidak lama untuk diluangkan mengajar anak-anak membaca. Lebih dari 10 minit pun kita mampu sebenarnya jika dibandingkan masa kita dengan gajet. Jadi, letakkan membaca untuk anak atau membaca bersama anak sebagai rutin harian. Sibuk bagaimanapun, luangkan 10 minit membaca. Jangan tinggal.

TIPS 10: GUNA KAEDAH BUNYI HURUF (FONIK) BERBANDING NAMA HURUF (EJA)
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Ini untuk anak-anak yang dah mula mahu membaca. Kedua-dua kaedah fonik dan eja adalah berkesan tetapi kaedah fonik memberi kesan yang lebih cepat, mudah dan kurang stress berbanding kaedah mengeja.

Jika anak jenis yang susah membaca atau mudah bosan, cuba kaedah fonik. Ada banyak lagu-lagu fonik di internet. Lagu-lagu juga boleh membantu untuk menambah minat anak.

Di pasaran juga ada berbagai kad imbas fonik. Tinggal kita memilih yang mana satu boleh menarik minat anak.
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Surah pertama yang turun sebagai wahyu Allah juga adalah surat al-A'la. Ayat pertamanya adalah IQRA' yang bermaksud BACA. Jadi, membaca bukanlah sekadar budaya bahkan ia juga suruhan Allah. Jadi, sebagai umat Islam, amalkanlah agar kita sentiasa berada dalam keadaan berilmu.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN