Kerjasama dengan HARASH COLLECTIONS

Salam'alaik semua.

Hari ni nak kongsi kerjasama saya dan Harash Collection, peneraju pakaian sedondon patuh syariah.

Sebenarnya dah lama saya ikut Harash Collection diam-diam sebab rekaan baju berpasangan (couple t-shirt) mereka sangat cantik. Kalau banyak duit, semua saya borong. 😁

Bermula raya 2016 yang lalu saya mula membeli. Saya tak beli banyak. Hanya sepasang untuk saya dan suami. Kemudian baru saya beli pakaian untuk anak-anak. Tunggu bajet la katakan.... 😅

Tak berapa lama kemudian saya terbaca Harash Collection buka peluang menjadi agen dropship secara percuma dan akan mengadakan kelas percuma juga. Teruja dengan ilmu yang bakal diterima, saya daftar.

Saya hadir ke kelas mereka yang saya rasa ilmunya sangat-sangat mahal kerana co-founder mereka, Tuan Zulqurnain mengajarkan kami ilmu dari BRC (Bukhari Ramli) dan Write To Wealth (Aqif Azizan) secara percuma untuk melatih kami menjadi agen yang bagus.

Tapi sayang... Seperti biasa, ilmu yang saya belajar tertinggal di dalam buku nota saja dek melayan kesibukan urusan rumahtangga dan bisnes percetakan yang sedia ada. Saya usaha juga menarik pelanggan dari bisnes percetakan untuk membeli koleksi Harash tapi tidak pernah ada yang bertanya pun. Mungkin sebab saya tidak buat setiap hari. Sekali-sekala saja saya iklankan. 😅😅

Selepas sekian lama berada di dalam kumpulan agen Harash yang kedua dan masih gagal menjual apa-apa koleksi mereka, saya fokus kepada bisnes percetakan yang hidup segan mati tak mahu.

Tak lama lepas tu, co-founder Harash mencari pegawai jualan yang boleh bekerja dari rumah dengan syarat tertentu. Saya dan 5 orang agen dropship lagi menyertai barisan pegawai jualan. Saya berusaha datang ke mesyuarat yang diadakan di pejabat kedua (berpindah) di Jalan Reko. Sekali lagi Tuan Zul menekankan mengenai apa yang kami belajar semasa mendaftar menjadi agen dropship dulu. Saya fikir semua kami dapat. Rupanya siapa respon cepat, dia dapat kerja tu. Orang pertama dapat jadi pegawai jualan, bernama Hanani. Saya sedikit kecewa tapi tidak meninggalkan kumpulan whatsapp yang ditubuhkan.

Selepas beberapa bulan, tiba-tiba awal Januari 2017 yang lalu, Tuan Zul bertanya di dalam kumpulan jika ada sesiapa yang mahu mengurus jualan lagi bulan Januari 2017 ini. Saya lambat baca lagi. Tapi dek kerana calon pegawai jualan yang lain ada urusan masing-masing, saya dapat tawaran tersebut.

Jam 9.30 malam adalah perjanjiannya untuk berjumpa di pejabat baru Harash di Kajang Perdana. Tetapi dek kerana mereka silap beri alamat, saya tak jumpa pejabatnya. Hinggalah suami naik bengang sebab tak jumpa dan minyak kereta dah nak habis, saya cuba menelefon Tuan Zul. Gagal menelefon, kami ambil keputusan untuk mengisi minyak dahulu. Tuan Zul pula mula menelefon saya kembali.

Kami berjumpa di pejabat Harash jam 10 malam. Turut bersama, pengasas Harash iaitu isteri Tuan Zul sendiri, Puan Aida Rahayu dan anak kecil mereka. Setelah diberi penerangan tugas, saya dibekalkan sebuah telefon pintar untuk urusan jual beli koleksi Harash nanti. Dalam hati rasa bersyukur sangat sebab saya memang sangat perlukan wang untuk melahirkan anak ke-empat saya ini sebulan lagi.

Bermulalah episod super sibuk saya pada 6 Januari 2017 hingga kini. Mula-mula rasa susah juga sebab saya perlu selaraskan jadual harian dan waktu menghantar laporan jualan Harash Collection (rekaan H16). Selepas 3 hari saya mula terbiasa dengan jadual baru ini. Alhamdulillah.

Tugas saya adalah menjawab semua mesej Whatsapp yang masuk dan bertanyakan koleksi Harash. Sambil menjawab Whatsapp, sambil menyimpan data pelanggan dan data jualan. Ada template fail Excel yang telah disediakan khas untuk mengira jumlah pelanggan dan jualan harian. Semuanya lengkap. Malah saya rasa saya boleh gunakan untuk bisnes percetakan saya kelak. Ia sesuatu yang menyeronokkan melihat angka-angka jualan yang semakin meningkat dan mampu mencecah 4 angka dalam masa 4 hari.

Ok la. Lain kali saya kongsi lagi. Salam'alik dan terima kasih sudi membaca. 😘

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN