Rabu, 25 Januari 2017

Hari yang sangat letih...

Salam'alaik semua.

Semalam adalah hari yang agak letih untuk saya. Pagi-pagi sudah bergegas ke klinik untuk temujanji pemeriksaan kesihatan. Bukan 1 temujanji tapi 3; saya, anak kedua dan anak ketiga. Mujurlah suami tidak ke luar kawasan dan dibenarkan keluar pejabat. Kalau tak, mungkin saya tak pergi temujanji tu semua. Faham-fahamlah situasi jika 3 orang kanak-kanak bersama seorang ibu sarat ke klinik. Dapat bayangkan kerenahnya? Demam! Terima kasih suami yang sudi membantu.

Urusan temujanji di klinik pun memakan masa 4 jam tidak termasuk urusan mengambil ubatan di kaunter farmasi. Sabarlah yang paling penting. 😅

Pulang ke rumah, kami singgah membeli nasi ayam untuk makan tengahari sekeluarga. Nak memasak memang tak sempat memandangkan jam hampir pukul 1 petang dan anak pertama belum makan dan belum siap pakaian sekolahnya. Selesai makan, cepat-cepat bersiap dan hantar anak ke sekolah. Suami terus bergegas ke pejabat.

Saya yang tinggal dengan 2 orang anak lagi, sudah sangat keletihan membawa perut.😅😅😅

Apalagi? Tidurlah bersama anak-anak selepas solat Zuhur. Tidur diiringi lagu nasyid kanak-kanak dari YouTube. Jam 6 petang baru terjaga. 😅😅😅 Letih sangat nampaknya.

Selesai solat Asar, cuba mengemas rumah tapi perut yang membesar ni menyebabkan letih cepat menyinggah. Tak sabar rasanya nak bayi ni lahir supaya mudah bergerak. Kandungan kali ni luarbiasa berbanding semasa mengandungkan anak-anak sebelum ini. Perempuan agaknya. 😁

Jam 6.45 petang, telefon pintar saya berbunyi. Nombor pemandu van sekolah tertera. Dah kenapa pula tiba-tiba call? Itu desis hati saya. Rupanya anak pertama saya tiada di sekolah katanya. Puas ditunggu. Ah, sudah! Saya segera menelefon suami. 5 minit kemudian saya menelefon semula pemandu van sekolah tadi. Katanya, dah jumpa anak saya. Anak saya buat kerja sekolah, katanya lagi. Dia juga minta saya cari van lain kerana dia tak sanggup lagi melayan kerenah anak pertama saya ni. Memanjang hari-hari nak kena bebel. Setiap kali tiba waktu balik, pemandu tu terpaksa tunggu dia. Itu pun ada saja benda dibuatnya. Beg sekolah tinggal la, pergi ambil wudhu' la, ikut ustaz solat la dan macam-macam lagi.

Saya maklumkan pada suami dan pulangnya suami, kami berbincang sedikit. Suami berniat hentikan sekolah anak pertama ini dan masukkan dia ke sekolah tahfiz berasrama. Walaupun saya sedikit sedih tapi memikirkan anak ini banyak ketinggalan pelajaran agama dan masih belum pandai mengaji, saya pujuk hati merelakan. Ibu mana tak sedih bila anak jauh di mata nanti? Tapi jika ini pengorbanan yang terpaksa dilalui, semoga Allah memberikan jalan terbaik untuk kami.

Bukanlah saya tak mahu ajar anak tetapi saya memang tak dapat ajar kerana kekangan tenaga. Sehari suntuk dengan urusan anak-anak kecil dan rumah sendirian, bila tiba waktu malam, saya sudah sangat lesu untuk mengeluarkan suara mengajar anak-anak ilmu. Sangat-sangat letih kerana semua kerja saya seorang diri lakukan. 😭

Saya cuma berharap suatu hari nanti saya punya ruang menggapai impian saya sehabis baik dan berjaya setelah semua masa dan tenaga saya (yang saya mahu guna untuk berniaga sepenuh masa), saya korbankan untuk suami dan keluarga terlebih dahulu. 😭

10 tahun sudah usia perkahwinan kami dan bakal dikurniakan anak ke-empat pula. Entah menang tangan atau tidak saya mahu berniaga sambil membesarkan anak-anak ini, Allah saja tahu. Apapun, semua perkara perlu diserahkan kepada Allah. Semoga pengakhirannya semua, baik-baik. 😔

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TERKINI

2017 - TAHUN TAMBAH NILAI BUAT SURI

✅   Pernah tak mengeluh harga barang-barang naik? Duit elaun suami bagi tak pernah naik atau tak pernah ada?  😭😂 ✅ Pernah tak berasa re...