PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN

Teks: Ziadah Zainal Abidin

Foto: Koleksi persendirian

Hari ni Facebook mengingatkan saya perniagaan percetakan saya pada tahun lepas. Setahun sudah berlalu. Sayang sekali kerana saya terpaksa lepaskan syarikat kerana tidak menang tangan menguruskan syarikat 'hampir bersendirian'.

Dengan visi saya menubuhkan syarikat percetakan untuk menjana pendapatan berpanjangan bersama adik-beradik perempuan saya supaya seandainya berlaku sesuatu di dalam keluarga, kami tidak terkapai-kapai berjuang sendirian, saya daftarkan syarikat di bawah nama Legasi Cetak dengan bantuan suami.

Syarikat kami dianggotai oleh saya, ibu saya, adik-adik perempuan saya dan suami. Penglibatan ibu saya adalah sebagai penasihat. Adik perempuan saya, Angah saya letakkan di bahagian jualan kerana dia lebih pakar dalam bidang jualan. Seorang lagi adik perempuan, Alya, saya letakkan di bahagian pereka grafik atas kepakarannya dalam bidang itu. Suami pula saya letakkan di bahagian kerja-kerja 'atas jalan raya' memandangkan penglibatannya dalam dunia penghantaran barangan sudah lama. Saya sendiri menguruskan urusan dokumentasi dan perkeranian.

Perlahan-lahan saya mencari tahu mengenai dunia percetakan. Fokus utama saya pada ketika itu adalah percetakan baju. Di samping itu kami menyediakan khidmat mencetak kad perniagaan, pelekat, kad kahwin, banner dan bunting. Bulan pertama syarikat ditubuhkan, jualan agak memberangsangkan memandangkan t-shirt I AM sedang viral. Banyak tempahan diterima. Alhamdulillah.

Masalah mula timbul apabila kami menghadapi ketegangan dengan pihak pencetak kerana kurang penjagaan kualiti dan kesilapan saya menggunakan teknik buang harga untuk meraih pelanggan. Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah besar kerana anggota syarikat kesemuanya mempunyai kerja luar masing-masing dan syarikat kami hanya sekadar sampingan. Jadi, kebanyakan kerja saya lakukan seorang diri di samping menguruskan rumahtangga. Jelasnya ia membuat fikiran saya berserabut dan syarikat mula goyah.

Anggota bahagian jualan sedang bekerja dengan sebuah syarikat fotografi yang juga sentiasa sibuk dengan tempahan majlis perkahwinan dan program Malaysia Wedding Show 2014 yang mereka anjurkan. Jadi, jualan kami semakin berkurang menjelang bulan ke-empat penubuhan syarikat. Dalam perniagaan, strategi pemasaran memainkan peranan penting.

Teknik buang harga yang saya gunakan pula mula memakan diri apabila untung yang diraih hanya sekitar 5 peratus sahaja. Kesalahan utama pula apabila tidak mengenakan caj penghantaran dan rekaan. Sebenarnya keuntungan yang saya sangka telah diraih adalah kerugian. Banyak kerugian kami. Ditambah lagi dengan rekod aliran tunai mula kacau-bilau apabila sesetengah bahan mentah yang diambil tidak ada resit kerana terlupa minta. Keadaan semakin berserabut apabila saya pula sudah hampir waktu bersalin dan tidak mampu lagi bergerak lincah dan terlalu banyak berfikir tentang syarikat. Akhirnya, setelah melahirkan anak ketiga saya, saya lepaskan syarikat kepada adik-adik perempuan saya setelah berbincang dengan suami.

Kami mengambil keputusan melepaskan syarikat bersama-sama. Dari situ juga saya mengenal Akademi Bekerja Di Rumah. Mulanya kerana ingin belajar merekod aliran tunai tetapi setelah bersalin dan melepaskan syarikat, saya diilhamkan untuk mendaftar kelas online asas blog penulisan dan bisnes. Jiwa saya begitu kena dengan produk akademi yang jauh lebih santai seperti produk e-book, kelas online dan tapak iklan sedia ada yang pastinya tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai malahan urusan jual belinya tidak memerlukan saya keluar rumah atau membungkus produk dan sebagainya. Alhamdulillah.

Syarikat yang saya lepaskan ini masih bergerak di bawah seliaan adik perempuan saya. Pasukan pencetak pula adalah adik-adik lelaki saya yang terdiri daripada pereka grafik yang juga berpengalaman serta berkelulusan Sijik Kemahiran Malaysia dari MARA Bangi di dalam bidang percetakan. Mereka menggunakan masa terluang pada hari cuti atau pada waktu malam untuk menyiapkan tempahan. Semoga satu hari nanti keluarga kami dapat mewujudkan perniagaan keluarga dalam bidang percetakan ini dan bergabung dengan muafakat lagi berkat.

Dalam dunia percetakan ini juga, salah seorang adik lelaki saya juga menguruskan syarikat percetakannya sendiri. Fokus utama syarikatnya adalah cetakan majalah sekolah. Selalunya dia akan menerima tempahan merekacipta grafik untuk majalah sekolah. Saya tidak tahu prosesnya atau bagaimana dan apa. Jika ada yang mahu tahu, boleh hubungi beliau sendiri di Zatshin Enterprise.

Gambar sebahagian tempahan yang pernah diterima.
Gambar salah seorang pelanggan yang berpuas hati.

Ulasan

  1. This blog is great visit this Online printing company website which is a Printing Malaysia company and it is most reliable online company in the field of Print Malaysia

    BalasPadam
  2. https://ziadahzainalabidin.blogspot.com/2015/09/perniagaan-percetakan.html?showComment=1542180108426#c8927116999624986155

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK