JODOH : SEGALANYA RAHSIA TUHAN

Asslamu'alaikum dan salam sejahtera.

Perancangan hari ini sebenarnya menghadiri majlis perkahwinan Mak Tam (isteri bapa saudara suami saya) di Felda Pasoh 1 yang diadakan pada hari ini. Sudah beberapa bulan perancangan ini berlangsung. Kad sudah diedar. Semua orang sudah bersedia.

Tapi Allah lebih mengetahui segalanya. Manusia merancang namun Allah punya perancangan yang jauh lebih baik dan manusia tidak tahu di mana hikmahnya hingga dia redha dengan semua ketetapan itu.

Sudah hampir 2 minggu pemergian Mak Tam. Kali terakhir kami berjumpa adalah 2 minggu sebelum pemergiannya.

"Kaki ni dah takde terasa apa lagi ha... Selegho pun dah takdo. Sobu yo poghut ni... Minum air yo.." Adunya semasa kami berbual.

"Mak Tam jadi ke kahwin? Kalau jadi, Azie nak sponsor bunting dan banner." Saya bersungguh dan ikhlas mahu ikut menyumbang sesuatu dalam majlisnya nanti.

"Ontah la.. Kalau ado jodoh, jadi la. Kau tunggu yo la." Sayu suaranya.

Saya malas mahu bertanya lanjut. Bimbang terjadi umpatan pula.

"Awak ni sakit. Kalau jadi, jadi la..." Suaranya lagi meluah rasa.

Ya. Sudah lama Mak Tam sakit. Bertahun-tahun selepas pemergian arwah suaminya 10 tahun lalu. Namun ibu gigih ini tidak mengalah. Biarpun sakit, 3 anak perempuan yang ditinggal arwah suami memerlukannya.

Dari tidak tahu memandu, dia belajar memandu. Dari surirumah, dia bekerja dan berhasil mendapatkan jawatan guru. Anak bongsunya masih sangat kecil semasa arwah suaminya pergi. Masih bayi.

10 tahun dia mengasuh anak tanpa suami di sisi. Hanya ada ibu, ayah dan adik-beradik.

Selepas hampir 10 tahun, dia mengkhabarkan ada yang merisik. Orang bujang. Fikirnya, jika sudah tua, anak-anak sudah berumahtangga, dia akan tinggal sendirian. Dia perlukan seseorang untuk membantu menjalani usia emasnya nanti.

Semua persiapan sudah hampir 100% siap. Bilik pengantin, baju pengantin, warna tema, bahan-bahan cenderamata sudah dibungkus, kad sudah diedar, katering sudah ditempah.

Namun, kuasa Allah s.w.t. menentukan hayatnya tidak kekal ke jinjang pelamin untuk kali kedua. Mak Tam pergi meninggalkan kami selepas dibawa ke hospital akibat sesak nafas. 2 hari dia di hospital. Khabar dari anaknya menyatakan dia boleh bercakap sikit-sikit. Hari terakhir, saya hanya tahu Mak Tam pergi selepas suami menelefon dan memberitahu berita sedih itu.

Sedih. Terpana. Betapa Allah Maha Mengatur. Subhanallah...

Kini hanya tinggal 3 beradik perempuan yatim-piatu ditinggalkan Mak Tam. Usia sekitar 20 hingga 10 tahun.

Semalam, majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan, diganti dengan majlis tahlil arwah Mak Tam. Paling mengusik hati adalah diari anak bongsunya yang berusia 10 tahun yang semakin berubah dari periang kepada pendiam dan mengasingkan diri. Hati si kecil itu sangat rindu ibunya.

Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada arwah Mak Tam dan menguatkan hati anak-anaknya untuk menjalani hidup mereka tanpa ibubapa di sisi untuk selamanya. Semoga mereka menjadi anak solehah yang mendoakan ibubapa sentiasa.

Selamat malam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN