SOAL JAWAB AQIQAH

Alhamdulillah masih diberi ruang dan nafas menyampaikan ilmu di sini. Kita sudah berada di dalam bulan September. Tidak lama lagi akan menyambut 'Aidil Adha atau hari raya korban.

Kebetulan suami saya menelefon jam 11.30 malam tadi menyebabkan saya terjaga dari tidur. Maklumlah telefon rumah bukannya boleh disetkan kepada mod senyap. Saya tidak menjawab panggilannya kerana anak-anak pasti akan turut terjaga jika terdengar suara kami nanti. Saya membalas dengan menghantar mesej. Katanya hanya mahu bertanya khabar anak-anak yang tidak sihat.

Selepas berbalas mesej hingga jam 12.30 pagi, saya membuka mesej-mesej dari kumpulan Whatsapp. Tajuk perbincangan di dalam kumpulan Dah Baca Quran Belum yang dikelolakan ustaz Norudin Draman sangat menarik dan bertepatan dengan waktu hari raya yang bakal tiba nanti. Mari kita baca. Moga ada manfaatnya. Saya olah dalam bentuk soalan dan jawapan ya.

Soalan 1:
Perihal pensyariatan aqiqah dan jenis binatang sembelihan bagi anak lelaki dan perempuan. Bolehkah pada seekor lembu itu dicampurkan bahagian aqiqah dan korban?

Jawapan dari Ustaz Khir Firdaus: MELAKSANAKAN ibadah korban dan aqiqah amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar. Kaedah melaksanakan kedua-dua ibadah ini hampir sama dari segi hukum dan syarat-syaratnya walaupun terdapat beberapa perbezaan.

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Namun begitu, ibadah korban adalah wajib ke atas Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Termizi bermaksud: “Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadah korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu.”

Aqiqah menurut Imam al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqnaa ialah binatang yang disembelih pada hari kelahiran bayi dan sewaktu mencukur rambut bayi tersebut. Hukum ibadah aqiqah adalah sunat muakkad seperti mana ibadah korban.

“Namun, ibadah korban dan aqiqah akan bertukar menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya. Islam menetapkan keadaan dan masa tertentu bagi memastikan ibadah korban dan aqiqah dapat dilaksanakan sah di sisi syarak,” jelas pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Menurut beliau, terdapat beberapa kekeliruan yang sering timbul antara ibadah korban dan aqiqah khususnya dalam kes menggabungkan niat korban dan akikah sekali gus. Dalam kitab Tuhfah dan al-Fatawa al-Kubra, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa: “Jika seseorang itu berniat ibadah korban dan aqiqah ke atas seekor kambing sekali gus maka kedua-duanya dianggap sebagai batal.” Ini kerana korban dan aqiqah mengandungi makna sunat yang tersendiri.

Ibadah korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka daripada melakukan dosa, manakala aqiqah adalah sebagai tanda menyambut kelahiran bayi.

Selain itu, persoalan yang turut mengelirukan ialah sama ada perlu atau tidak orang yang berkorban menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu.”

Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian.

“Dengan kata lain, ibadah korban dan aqiqah boleh dilaksanakan secara berwakil bagi pihak yang ingin melaksanakan korban dan aqiqah sekalipun mereka tidak ada bersama-sama ditempat ibadah tersebut dilaksanakan,” jelas al-Hakim.

Terdapat banyak kelebihan dalam mengerjakan ibadah korban dan aqiqah seperti mana yang terkandung dalam surah al-Kauthar, ayat dua bermaksud: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.”

Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama Muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Haj ayat 36: “Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).

Pencerahannya:
7 Bahagian bagi Seekor Lembu itu AFDHALnya adalah Niat Qurban.
Ada sebahagian Ulama' Fiqh mengharuskannya untuk mencampurkan Bahagian Aqiqah & Qurban.
Ibadah Qurban KHUSUS pd Hari Raya 'Eidul Adha dr 11,12,13 Zulhijjah.
Ibadah Aqiqah UMUM drp 7 Hari Anak Lahir sehingga Aqil Baligh.

Soalan 2:
'Aidil Adha sudah makin hampir. Mana yg lebih utama atau wajib didahulukan antara korban 1 bahagian atau laksanakan aqiqah terlebih dahulu? Bagaimana halnya pertangguhan akikah tersebut adalah disebabkan kewangan yg tidak mengizinkan? (Sekarang Kambing seekor harganya boleh tahan juga )

Jawapan dari Ustaz Khir Firdaus:
AFDHAL buat Qurban kerana bertepatan dengan waktunya. HARUS ditangguhkan Aqiqah tersebut.

Soalan 3:
Bolehkah kita mengambil atau makan atau simpan daging korban tersebut? (Katakanlah yang kita punya tadi tu 1 bahagian).

Jawapan dari Ustaz Khir Firdaus:
Daging Qurban 1 Bahagian itu HARUS kita ambil atau dibahagikan kepada mereka yang kurang kemampuan.
Daging Qurban 1 Bahagian ni boleh tahan banyak daripada 7 Bahagian Seekor Lembu. Kita ambil 2 Bungkus daripada Daging Qurban pun dah memadai untuk kita sekeluarga.

Soalan 4:
Kenduri aqiqah, bolehkah kita jemput kawan-kawan atau jiran bukan muslim?

Jawapan Ustaz Khir Firdaus:
Boleh jemput bukan muslim, cuma tidak boleh hidang makanan daging aqiqah kepada bukan muslim. Mengikut pengalaman saya, saya pernah jemput jiran bukan muslim dan saya hidangkan makanan lain untuk mereka.

Soalan 5:
Bagaimana kita nak terangkan pada bukan muslim, kalau mereka minta makan masakan daging aqiqah tu, tapi kita tak bagi?

Jawapan dari Ustaz Khir Firdaus:
Boleh terangkan guna logik akal sahaja iaitu epal atau limau yang diletak di tokong cina, Muslim tidak boleh makan. Begitulah konsepnya.

Soalan 6:
Jika kita buat majlis aqiqah secara terbuka, ada bukan muslim datang, ia di luar kawalan kita. Bagaimana menyelesaikan masalah ini?

Jawapan Ustaz Khir Firdaus:
Kita boleh uruskan dengan mengadakan menu berasingan di sebelah bahagian lain untuk jiran tetangga bukan muslim.

Soalan 7:
Bangsa Melanau ada 2 agama dan dipanggil melanau kiri dan melanau kanan. Bukan-muslim dan muslim. Semua jenis melanau ada melanau kiri kecuali melanau Bintulu. Contohnya, melanau Mukah, memang sekeluarga akan ada agama Kristian. Apa-apa majlis akan ajak adik-beradik termasuk yang bukan Islam. Bagaimana penyelesaian masalah ini?

Jawapan dari ustaz Norudin Drahman:
Berkenaan dengan pemberian kepada bukan muslim, sekadar yang saya tahu dari bercakap dan baca. Ia bukan soal hukum yang qat'ie, ia soal adab keutamaan (aulawiyah).

Lebih baik sampaikan semua korban dan akikah kepada muslim. Tambahan zaman sekarang, ada program korban dan aqiqah ke luar negara di tempat di mana saudara satu akidah Islam kita hanya dapat merasa daging pada hari raya haji jika ada yang sedekah/ hantar.

Berkenaan beri kepada bukan muslim, saya dapati tiada dalil mahupun pendapat ulama yang meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja. Justeru, saya kira ianya adalah harus.

Wallahua'lam.

Cuma sudah tentu yang lebih baik adalah penerima dari kalangan orang Islam kerana diharapkan adalah si penerima memahami lalu mendoakan si kanak-kanak tadi apabila menerima hidangan hasil aqiqah itu.  Jika beri pada bukan Islam, manalah mereka faham aqiqah tu apa.

Falsafah 'aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kepada yang lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (jika belum). Bukan-Muslim tiada peruntukan aqiqah.

Rujukan: Dr UZAR

Jawapan Ustaz Khir Firdaus:
Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat dan menurut pendapat fuqaha’ mengenai pemberian daging Aqiqah kepada orang kafir:
1. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging aqiqah sunat atau wajib kepada bukan Islam.
2. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging aqiqah sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging aqiqah wajib, seperti aqiqah yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
3. Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging aqiqah sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging aqiqah wajib.
4. Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging Korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi’ie saja yang berpendapat daging aqiqah sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging aqiqah sunat, tidak harus jika aqiqah wajib. Imam Nawawi pula yang bermazhab Syafi’ie dalam kitab al Majmuk syarah al Muhazzab dalam bab al udhiyah menjelaskan bahawa, apa yang dikehendaki oleh mazhab ialah harus memberi mereka (kafir zimmi) makan daripada daging korban sunat tetapi tidak yang wajib wallahu a’lam.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging aqiqah sunat lebih baik diterima pakai.

Ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan antara agama.

Wallahu a'lam. Ini Ijtihad Para Ulama'

Kita sebagai orang awam boleh bertaqlid atau mengikuti Ijtihad Para Ulama' Fiqh Muktabar. Apa yg terbaik juga kita mengambil pandangan Muktamad Al Imam As Syafi'i.

Ustaz Norudin Draman menyambung jawapan:
Secara peribadi. Saya kira, lebih baik jika daging korban dan aqiqah diberi kepada muslim sahaja. Sebab kita korban dan aqiqah mengharap berkat dan juga doa dari orang yang menjamah sedekah kita.

Dalam muamalat dengan bukan muslim ada banyak masa dan kesempatan lain selain daripada hari raya Qurban.

Jadi jawapan bagi soalan tadi mengenai kaum Melanau; Ya. Di Sarawak boleh dikatakan ada keluarga majmuk. Terutama di bahagian Mukah. Dalam satu keluarga besar ada Islam, Kristian, Pagan dan Bahai. Saya sendiri pernah tinggal di pedalaman Serian, Kuching, Sarawak. Masyarakat Bidayuh. Mereka juga ada keluarga majmuk. Satu keluarga, ada Muslim dan Kristian. Keluarga angkat Bidayuh saya adik beradik mereka ada muslim dan Kristian

Sambung ustaz Khir Firdaus; "Menarik Rambut daripada tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak”

******
Begitulah perbincangan tadi dan saya sangat berterima kasih kepada semua ustaz yang berkongsi ilmu. Semua pendapat yang dibincangkan adalah mengikut apa yang dipelajari, dibaca dan didengar dari para ulama' dan tuan guru. Sekiranya ada perbezaan, bolehlah komen untuk pembetulan.

******
Selesai membaca perbincangan dalam kumpulan tadi, ada pula yang bertanya tentang tahajjud. Kebetulan jam sudah 12 lebih dan saya telah memenuhi syarat bertahajjud iaitu tidur sebentar sebelum bangun sepertiga malam, bolehlah menunaikannya. Alhamdulillah. Tidak sia-sia suami mengejutkan saya dari tidur hanya untuk bertanya khabar walaupun pada mulanya rasa geram sebab dah malam dan anak-anak sedang tidur.

Betullah apa yang dikatakan, "Boleh jadi engkau suka akan sesuatu itu tetapi ia tidak baik untukmu. Boleh jadi engkau tidak suka akan sesuatu itu tetapi ia adalah yang terbaik untuk kamu."
Alhamdulillah dan selamat pagi 2 September 2015 semua. Saya nak sambung tidur.

Oh ye. Alang-alang bercerita tentang aqiqah, kalian yang mencari pakej istimewa untuk aqiqah anak boleh ke laman web ini: PAKEJ AQIQAH ANAK ONLINE . Mudah, kos rendah, siap video & ada cenderahati. Insya-Allah saya pun akan jadi peserta untuk aqiqah anak-anak saya. Semoga dimurahkan rezeki kita semua. 😊

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN