YOSH.MY

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber Gambar: www.yosh.my dan Facebook
Entri: 31

Alhamdulillah untuk udara dan nafas yang masih lancar hari ini. Semalam saya terbaca iklan pencarian vendor dari sebuah perniagaan online dropship yang pertama kali saya ceburi bertahun dahulu. Yosh.my namanya yang disingkatkan dari perkataan Your Online Shopping Hub. Pemiliknya adalah seorang anak muda bernama Adly Mukhtar. Masih terbayang-bayang di mata saya gaya Yosh! yang dipersembahkan di atas pentas beberapa tahun lalu.

Permulaan yang membuat saya mengambil tindakan drastik menyertai seminar usahawan beliau bersama Aqif Azizan dan Hasbul Ariff di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 2010 (jika tidak salah) adalah harga seminar yang ditawarkan. Saya jumpa iklan mereka di dalam suratkhabar Harian Metro jika tidak salah ingatan. Mereka menawarkan harga hanya serendah RM50 seorang. Itulah pertama kali saya bertemu usahawan-usahawan muda ini dan mula berkecimpung dalam dunia internet.

Saya tidak terus membeli sistem yang mereka perkenalkan. Sebaliknya saya mengikuti perkembangan mereka secara diam-diam sehingga saya benar-benar yakin mereka tidak menipu. Pertama kali saya punyai kedai online dropship Yosh! bukan main teruja. Saya ambil risiko rendah untuk rugi dengan mengambil pelan paling murah yang ditawarkan iaitu berharga RM150 untuk percubaan pemasaran selama 3 bulan. Banyak barangan disenaraikan dari pakaian muslimah, jubah, pakaian kanak-kanak, pinggan mangkuk jenama Corelle, anak patung beruang, produk pemakanan dan sebagainya. Sistemnya boleh dikatakan 90 peratus lengkap. Saya sangat sukakannya.

Rasa suka saya tidak mampu menjamin saya akan beroleh keuntungan. Saya gagal memasarkan produk disebabkan sukar fokus. Fokus saya ketika itu lebih tertumpu kepada anak sulung saya yang masih bayi ketika itu. Tambahan lagi saya kurang bijak mengurus stress. Saya hilang semangat untuk meneruskan dropship bersama Yosh!. Selepas tamat tempoh, saya tidak berhasrat menyambung perniagaan dropship Yosh! lagi.




Begitulah perjalanan saya bersama Yosh!. Berita terbaru yang saya terima, Yosh! sudah kembali aktif
selepas senyap beberapa lama tahun lepas. Mungkin kerana masalah dalaman yang saya pun tidak ambil tahu. Kini mereka mencari vendor (pembekal produk) bagi sistem versi Beta, sistem terbaru mereka.


Kepada pembaca yang berminat, boleh saja tanya 'pakcik' Google.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN